Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Sindiket pengedaran dadah Ah Chuan tumpas selepas polis menyerbu stor pemprosesan serbuk ekstasi milik kumpulan jenayah itu di sekitar bandar raya ini selain merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3.05 juta.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor antara jam 12.30 tengah hari Selasa lalu hingga jam 6.30 pagi, semalam.

"Sindiket ini sudah beroperasi sejak tahun lalu dan menyewa kondominium untuk dijadikan stor pemprosesan dadah.

"Hasil enam serbuan dijalankan, kami menahan 10 individu, termasuk seorang wanita, berusia 21 hingga 51 tahun bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media di IPK Johor, hari ini.

Menurut Ayob Khan, hasil siasatan terhadap suspek berusia 23 tahun, pihaknya menyerbu stor pemprosesan serbuk esktasi di sekitar Johor Bahru, selain sejumlah dadah dan peralatan memproses dadah turut dirampas.

"Kami merampas 49.33 kilogram (kg) serbuk ekstasi bernilai RM2.96 juta, syabu seberat 2.09kg bernilai RM76,096, selain heroin seberat 450.50 gram bernilai RM5,009.56 dan 110 gram 'magic mushroom' bernilai RM5,500.

FOTO suspek yang ditangkap berhubung kes sindiket Ah Chuan selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
FOTO suspek yang ditangkap berhubung kes sindiket Ah Chuan selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

"Dadah ini boleh digunakan oleh 174,960 penagih. Polis turut menyita lima kereta bernilai RM183,000, wang RM2,175 selain dua akaun bank berjumlah RM1,584.04," katanya.

Ayob Khan berkata, ujian saringan air kencing mendapati, kesemua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan THC, manakala hasil semakan rekod mendapati tujuh suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

Pada operasi berasingan, beliau berkata, pihaknya menahan enam individu, termasuk empat wanita warga China, berusia 36 hingga 46 tahun, dipercayai terbabit dengan kegiatan menggunakan perkhidmatan ejen pengangkutan lori bagi menghantar dadah ke negara jiran.

"Operasi itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, IPK Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara menerusi empat serbuan sekitar bandar raya, antara jam 4.15 petang hingga 6.30 pagi, pada Selasa lalu hingga semalam.

"Hasil maklumat awam, kami memintas penghantaran dua kerusi kayu dan sekotak barang yang didapati berada dalam keadaan mencurigakan.

"Kami melakukan pemeriksaan dan menemui syabu dan pil ecstasy dalam keadaan berbungkus serta disembunyikan dalam kerusi bagi mengaburi pihak berkuasa," katanya.

Menurut Ayob Khan, jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan bagi kedua-dua operasi adalah RM3.47 juta.

Kesemua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 9:19 PM