Omar Ahmad


Johor Bahru: Sindiket dadah antarabangsa yang baru beroperasi sebulan, tumpas dengan penahanan 10 individu termasuk dua wanita dalam tujuh serbuan berasingan di sekitar daerah Johor Bahru dan Iskandar Puteri di sini, kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor membuat serbuan kira-kira jam 1.45 petang hingga 11 malam dan berjaya merampas dadah bernilai RM1.03 juta.

Katanya dalam serbuan pertama, seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun ditahan bersama sejumlah rampasan dadah dan peralatan memproses dadah.

"Saringan urin mendapati suspek lelaki ini negatif dadah namun, semakan rekod lampau mendapati lelaki terbabit mempunyai lapan kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Susulan serbuan pertama itu, polis membuat enam lagi serbuan berasingan dan menahan sembilan suspek berumur antara 20 hingga 34 tahun. Kesemua suspek negatif dadah. Namun lima daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Modus operandi kegiatan pengedaran dadah ini dengan menyewa rumah di kawasan berpagar dan berpengawal untuk dijadikan stor penyimpanan dan memproses dadah bagi pasaran tempatan dan antarabangsa," katanya dalam sidang media di IPK Johor di sini, hari ini.

Menurut Ayob Khan, polis mendapat makluman awal berhubung kegiatan sindiket ini dan menjalankan risikan selama dua bulan sebelum serbuan dibuat.

Ayob Khan (kanan) menunjukkan lokasi makmal dadah yang diserbu. FOTO OMAR AHMAD
Ayob Khan (kanan) menunjukkan lokasi makmal dadah yang diserbu. FOTO OMAR AHMAD

Katanya, hasil siasatan mendapati sindiket ini turut mengedarkan dadah yang diproses ke pasaran negara jiran Indonesia dan Singapura.

"Kalau kita lihat peralatan proses dadah yang dimiliki sindiket ini sudah lengkap. Hasil siasatan awal dadah diproses dalam dua bentuk iaitu serbuk dan kiub.

"Dadah jenis serbuk biasanya dipasarkan untuk pasaran tempatan manakala jenis dadah kiub akan dipasarkan di pasaran antarabangsa.

"Jumlah dadah yang dirampas ialah 25.2 kilogram heroin dan 14 kilogram serbuk ekstasi. Dadah ini dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 172,666 penagih.

"Selain itu, pelbagai bahan kimia pembuatan dadah, peralatan dan mesin memproses dadah turut dirampas. Polis juga menyita empat kereta dan tiga barang kemas," katanya.

Jelas Ayob Khan, empat lagi suspek termasuk dalang telah dikenal pasti dan akan dikesan dalam masa terdekat.

"Seorang suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga 22 September depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Manakala sembilan suspek yang lain diambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (langkah-langkah pencegahan khas) 1985," kataya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 1:58 PM