ANTARA individu ditahan dalam serbuan dijalankan polis di sebuah pusat hiburan di Johor Bahru. FOTO Ihsan Polis Johor
ANTARA individu ditahan dalam serbuan dijalankan polis di sebuah pusat hiburan di Johor Bahru. FOTO Ihsan Polis Johor
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Seramai 51 individu dikenakan kompaun RM1,000 susulan serbuan dijalankan polis di sebuah pusat hiburan sekitar daerah ini, 2.30 pagi hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor, Asisten Komisioner Mohd Afzanizam Yahaya berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor memeriksa kesemua individu berusia 18 hingga 55 tahun ketika berhibur di premis berkenaan.

Katanya, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun dipercayai mengaku sebagai pengurus premis kerana menjalankan perniagaan melebihi masa yang ditetapkan.

"Hasil saringan awal air kencing mendapati 19 individu terdiri daripada 12 lelaki tempatan, lima wanita tempatan dan dua wanita warga Vietnam positif dadah methamphethamine dan ketamine.

"Dua wanita warga Vietnam itu turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

"Kesemua individu dikenakan kompaun kerana tidak mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada di dalam premis dan pengurus premis pula melakukan kesalahan ingkar perintah kerana beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain kompaun itu, Afzanizam berkata, suspek akan direman mulai esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, polis Johor berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah yang berlaku di sekeliling mereka.

"Sehubungan itu, sekali lagi polis Johor ingin menegaskan kepada orang ramai supaya mematuhi PKPP dengan mematuhi penjarakan fizikal di tempat awam, selain tindakan tegas akan diambil bagi mereka yang ingkar," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 10:57 PM