GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nurul Amanina Suhaini


Iskandar Puteri: Seramai 75 individu dikompaun RM1,000 selepas didapati berhibur di sebuah premis pusat hiburan di Jalan Indah, Taman Bukit Indah, malam tadi, dan mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, serbuan dijalankan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, sekitar 11.30 malam.

"Dalam serbuan itu, seramai 67 pelanggan dan 13 pekerja dengan keseluruhan 80 individu berusia lingkungan 18 hingga 56 tahun berada di dalam premis berkenaan.

"Pemeriksaan ke atas premis juga mendapati gagal mengemukakan lesen hiburan serta melakukan kesalahan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Lima individu dikenakan tindakan bagi kesalahan PKPP mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPPB) 2020, manakala 75 individu dikenakan kompaun mengikut Peraturan 3 PPPPPB 2020 kerana tidak menjaga penjarakan fizikal ketika berada di dalam premis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dzulkhairi berkata, pemeriksaan saringan air kencing terhadap kesemua pekerja dan pelanggan mendapati dua lelaki tempatan adalah pelanggan positif dadah methamphethamine atas kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, turut ditahan dua lelaki warga China, seorang lelaki warga Amerika Syarikat dan seorang wanita warga Vietnam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen.

"Seorang lelaki tempatan turut ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 90 Akta Polis 1967 atas kesalahan merakam video dan mengeluarkan kata-kata kesat serta tidak puas hati dan berkelakuan tidak senonoh kerana ditahan polis.

"Orang ramai diminta untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah termasuk pelanggaran syarat yang ditetapkan dengan tidak mengamalkan penjarakan fizikal ketika PKPP supaya polis boleh mengambil tindakan selanjutnya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 8:07 PM