Seramai 246 individu dikenakan kompaun menerusi operasi bersepadu yang dijalankan di dua premis berasingan sekitar kawasan Johor Bahru, malam tadi. FOTO IHSAN POLIS JOHOR
Seramai 246 individu dikenakan kompaun menerusi operasi bersepadu yang dijalankan di dua premis berasingan sekitar kawasan Johor Bahru, malam tadi. FOTO IHSAN POLIS JOHOR
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Seramai 246 individu termasuk remaja bawah umur dikompaun RM1,000 kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam operasi bersepadu di dua pusat hiburan berasingan sekitar daerah ini, malam tadi.

Kesemua mereka yang berusia antara 15 hingga 63 tahun didapati tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi dijalankan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor; Cawangan D7 IPK Johor; Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan (IPD JBS); Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD JBS dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) pada jam 10 malam tadi.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

"Hasil semakan mendapati premis itu berlesen tetapi melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Daripada 246 individu itu, seorang remaja ditahan kerana positif dadah jenis methamphetamine, manakala seorang lelaki warganegara Singapura berusia 63 tahun ditahan kerana gagal mengemukakan pasport.

"Turut ditahan, 11 individu lain masing-masing seorang lelaki warganegara Taiwan, Nigeria, United Kingdom, China, Yamen, selain seorang wanita warganegara Indonesia dan lima wanita warganegara Thailand kerana tinggal lebih masa," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, kesemua individu itu direman bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata, polis Johor berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan dadah yang berlaku di sekeliling mereka.

"Orang ramai diminta mematuhi PKPP dan tindakan tegas akan diambil bagi mereka yang ingkar," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 2:28 PM