11 individu ditahan berhibur dalam parti tertutup di sebuah rumah inap desa di Bandar Penawar, di sini, awal pagi tadi. FOTO ihsan POLIS
11 individu ditahan berhibur dalam parti tertutup di sebuah rumah inap desa di Bandar Penawar, di sini, awal pagi tadi. FOTO ihsan POLIS
Omar Ahmad


Kota Tinggi: Seramai 11 individu termasuk remaja bawah umur masing-masing dikompaun RM4,000 kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menyertai parti liar di sebuah rumah inap desa di Bandar Penawar di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, tangkapan pada jam 4 pagi tadi itu membabitkan lapan lelaki dan tiga wanita berusia 17 hingga 25 tahun.

Katanya, turut ditemukan dalam serbuan itu ialah enam biji pil ekstasi dan 4.19 gram dadah jenis ketamine.

"Semua yang ditahan adalah penduduk setempat di daerah ini dan mereka menyewa rumah inap desa itu RM150 sehari.

"Hasil ujian air kencing yang dijalankan ke atas semua suspek mendapati tujuh daripada mereka positif dadah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan 11 (1) Peraturan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (Larangan berhimpun dalam premis bagi tujuan sosial).

Bagi kesalahan dadah, kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) Akta sama 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 4:07 PM