SEBAHAGIAN warga asing yang ditahan pada Op Bersepadu Tahun Baru di Pantai Telok Kemang. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
SEBAHAGIAN warga asing yang ditahan pada Op Bersepadu Tahun Baru di Pantai Telok Kemang. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Polis menahan seramai 24 warga asing yang berpesta sempena menyambut Tahun Baru di tepi pantai Port Dickson di sini, awal pagi tadi.

Operasi bersepadu itu bermula 11 malam sehingga 3 pagi tadi dengan dibantu Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan Pejabat Kesihatan Port Dickson.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pada serbuan di Pantai 2, Batu 8, Telok Kemang itu, pihaknya menahan 12 wanita Thailand, dua lelaki dan dua wanita Nigeria, empat wanita Filipina, dua wanita Indonesia, seorang lelaki dan seorang wanita Sierra Leone.

"Mereka ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada pasport sah dan visa sudah tamat tempoh.

"Pemeriksaan turut dilakukan terhadap 11 lelaki dan empat wanita Nigeria, seorang wanita Cameroon, seorang lelaki dan dua wanita Filipina, seorang wanita Sierra Leone, seorang wanita Thailand, tiga lelaki dan dua wanita Guinea," katanya ketika ditemui awal pagi tadi.

Katanya, semasa serbuan pihak MPPD juga sudah menyita beberapa peralatan menghisap shisha berdekatan stor pam air dipercayai milik kumpulan warga asing itu.

"Pemeriksaan lanjut oleh sepasukan MPPD juga menjumpai bungkusan plastik mengandungi ketulan daun kering serta gulungan rokok disyaki ganja dianggarkan seberat 86.11 gram.

"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 oleh Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson," ujarnya.

Aidi Sham berkata, ujian air kencing mendapati tiga daripada mereka positif dadah.

Sementara itu, pihak polis turut bertindak atas aduan awam mengenai pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) di sebuah pusat karaoke di Bandar Dataran Segar, Lukut.

"Satu kompaun diberikan atas kesalahan ingkar SOP kerana pemilik premis gagal mengawal jumlah pengunjung serta tiada penjarakan fizikal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 1:57 PM