DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay (dua dari kanan) menunjukkan rampasan pada sesi sidang media di IPK Johor, Johor Bahru. FOTO Nurul Amanina Suhaini
DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay (dua dari kanan) menunjukkan rampasan pada sesi sidang media di IPK Johor, Johor Bahru. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Nurul Amanina Suhaini


POLIS Johor membongkar kewujudan makmal mini disyaki tempat memproses dadah hasil penahanan 30 individu termasuk dua lelaki warga Singapura dalam 33 serbuan berasingan di sekitar negeri, bermula 15 Mei hingga 22 Mei lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis turut merampas sejumlah dadah dan sitaan dianggar bernilai RM1.03 juta dalam operasi berkenaan.

Katanya, pada 15 Mei lalu, bertindak atas maklumat pengedaran dadah, pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor merampas sejumlah dadah di syarikat khidmat penghantaran (kurier) di kawasan Senai, Johor.

"Susulan rampasan itu, JSJN Johor sehingga 22 Mei lalu berjaya membuat 33 serbuan ke atas sindiket pengedaran dadah di sekitar empat daerah termasuk Johor Bahru, Seri Alam, Kulai dan Kluang.

"Hasil serbuan, 30 suspek berjaya ditahan bersama rampasan dadah iaitu terdiri daripada 15 lelaki tempatan, dua lelaki Singapura, seorang lelaki warga Indonesia, selain 10 wanita tempatan, seorang wanita warga Indonesia dan seorang wanita warga Myanmar berusia antara 18 hingga 60 tahun.

"Dua lelaki warga Singapura adalah orang dikehendaki berkaitan jenayah di Singapura. Modus operandi sindiket ini menggunakan syarikat khidmat penghantaran dalam menjalankan aktiviti penyeludupan dadah ke Singapura yang difahamkan aktif sejak tiga bulan lalu," katanya pada sidang media di IPK Johor, hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis turut berjaya membongkar sebuah makmal mini disyaki dijadikan tempat memproses pil ectasy di kawasan Ulu Tiram, di Johor Bahru, selain hasil saringan air kencing mendapati 12 suspek positif dadah jenis methaphetamine, benzo dan ketamine.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) ada berkongsi maklumat dengan pihak narkotik Singapura termasuk alamat-alamat penghantaran yang ada di Singapura. Saya ingat ada 31 transaksi penghantaran. Saya pasti polis Singapura akan membuat operasi susulan.

"Polis turut menyita tiga akaun bank tempatan milik tiga individu dipercayai daripada hasil kegiatan pengedaran dadah yang berjumlah RM85,616.13.

"Rampasan dadah turut merangkumi 8.4 kilogram (kg) syabu, 1,299.59 gram ketamine, 105 gram serbuk ecstacy, selain 1,430 biji pil ecstasy, 108 pil erimin 5 dan 6.10 gram ganja.

"Polis turut menyita pelbagai barangan kemas bernilai RM5,000, sembilan kenderaan anggaran bernilai RM293,000, sebuah motosikal anggaran nilai RM6,000, wang tunai RM62,447 dan wang SGD 100 (RM304)," katanya.

Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 16 hingga 22 Mei lalu, kemudian disambung reman semula bermula 23 hingga 28 Mei ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Imigresen 1959/63.

Dalam pada itu, katanya, bermula 1 Januari sehingga 25 Mei lalu, JSJN Johor berjaya membuat tangkapan seramai 6,771 individu atas pelbagai kesalahan dadah dan dalam tempoh sama juga berjaya membuat rampasan dadah sebanyak 672.95 kilogram.

Katanya, keseluruhan dadah yang dirampas adalah bernilai RM17.15 juta dan turut disita adalah harta bernilai RM6.77 juta. "PDRM Johor berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 3:36 PM