ANTARA wanita ditahan dalam serbuan berkenaan. FOTO Ihsan Polis
ANTARA wanita ditahan dalam serbuan berkenaan. FOTO Ihsan Polis
Abdul Rahemang Taiming


POLIS menahan 19 individu, termasuk lapan wanita, kerana disyaki terbabit parti liar serta melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sebuah kediaman di Taman Nordin, dekat Tawau, kelmarin.

Serbuan di kediaman mewah itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, 1.42 tengah hari susulan maklumat dan aduan awam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada 17 warga tempatan dan dua warga asing berusia antara 21 hingga 34 tahun itu juga didapati positif dadah jenis ketamin, amphetamine dan methamphetamine.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati premis kediaman mewah itu disewa oleh salah seorang suspek berkenaan dengan bayaran RM1,200 sehari.

"Siasatan lanjut juga mendapati kebanyakan mereka datang dari kawasan sekitar daerah ini dan berkumpul di premis berkenaan untuk berhibur, namun gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPP selain gagal mengamalkan penjarakan sosial.

"Tindakan mereka berkumpul untuk berhibur itu bagaimanapun melanggar peraturan mengikut Seksyen 11 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya menerusi kenyataan di Tawau, hari ini.

Jelas Peter lagi, semua suspek turut dikenakan kompaun RM1,000 mengikut Peraturan 3 Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 atas kesalahan ingkar PKPP.

"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, manakala suspek bukan warganegara ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

"Kesemua mereka ditahan reman selama empat hari bagi suspek lelaki dan tiga hari bagi suspek wanita bermula semalam," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 8:59 AM