Zahidi Zainul Abidin. FOTO BERNAMA
Zahidi Zainul Abidin. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin perlu hadir ke persidangan Dewan Negara minggu depan bagi memberi penjelasan dan memohon maaf berhubung kenyataannya mengenai seorang penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin.

Speaker Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim membuat ketetapan itu selepas Senator Alan Ling Sie Kiong mengemukakan usul tergempar mengikut Peraturan Mesyuarat Perkara 25 (1) (q) bagi merujuk Zahidi ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negara berikutan tindakannya memberikan jawapan tidak tepat semasa persidangan dewan itu Khamis lalu.

"Setelah menimbang perkara secara jauh dan dekat, secara luas dan spesifik, kita harus bersetuju dahulu supaya beliau perlu datang ke dewan ini dan beri pandangan, penjelasan dan akhirnya memohon maaf kepada pihak yang berkenaan.

"Jika beliau enggan berbuat demikian, mungkin pada minggu hadapan barulah kita juruskan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan itu.

"Begitulah pandangan saya dan berharap ia dapat dirakam sebagai keputusan awalan sebelum penjurusan sebenar de facto dibawa kepada jawatankuasa itu," katanya.

Terdahulu, Ling memaklumkan kepada persidangan Dewan Negara bahawa beliau sudah mengemukakan usul berkenaan pada 7 September dan ia memerlukan 14 hari sebelum dimasukkan ke dalam aturan urusan mesyuarat untuk dibahas.

"Bagaimanapun oleh kerana ada keperluan tindakan segera dan perkembangan terkini hal ini, saya harap dewan ini meluluskan usul ini.

"Semalam Jemaah Menteri sudah bincang isu itu dan memang benar penuntut berkenaan terpaksa menduduki peperiksaan atas pokok kerana akses Internet yang terhad dan lemah.

"Jemaah Menteri memutuskan kenyataan dikeluarkan Zahidi itu tidak betul dan tidak wajar. Beliau sebelum ini menyatakan untuk hadir dan mohon maaf tetapi tidak berbuat demikian.

"Perkara ini perkara serius dan boleh mendatangkan fitnah kepada Veveonah. Keangkuhan yang ditunjukkan bukan sahaja mengelirukan tetapi mencemar imej dan intergriti Dewan Negara," katanya.

Mengikut aturan urusan mesyuarat persidangan Dewan Negara hari ini, Zahidi dijadual menjawab soalan ke-21 yang dikemukakan oleh Senator Adrian Banie Lasimbang mengenai sistem telekomunikasi mudah alih 4G terkini di Sabah bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada sesi soal jawab.

Apabila mendapati Zahidi tidak hadir bagi menjawab soalan itu, Rais kemudiannya meneruskan persidangan dan membenarkan Ling bangun untuk mengemukakan usul berkenaan mengikut Peraturan 25 (1) (q).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 4:12 PM