GAMBAR terakhir Baharin Tahir (kanan) yang maut dalam kemalangan di Jalan Bagan Nakhoda Omar (BNO) - Parit Baru.  FOTO IHSAN PEMBACA
GAMBAR terakhir Baharin Tahir (kanan) yang maut dalam kemalangan di Jalan Bagan Nakhoda Omar (BNO) - Parit Baru. FOTO IHSAN PEMBACA
Amirul Aiman Hamsuddin


Sabak Bernam: Kerap berzikir dan berselawat ketika duduk di tangga rumah menjadi petanda akhir sebelum seorang pesara Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) terbabit kemalangan maut berhampiran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Air Tawar di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.15 pagi itu, motosikal Honda EX5 ditunggang mangsa, Baharin Tahir, 67, bergesel dengan sebuah motosikal lain menyebabkan dia terjatuh.

Mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam sebelum disahkan meninggal dunia 11.45 pagi akibat parah di kepala dan perut manakala seorang lagi mangsa dirujuk ke Hospital Sungai Buloh (HSB).

Isteri Allahyarham, Sariah Salikun, 59, berkata, arwah suaminya tidak banyak bersembang sebaliknya memperbanyakkan zikir dan selawat serta mendiamkan diri sebelum kejadian.

"Tiga hari sebelum kejadian, saya nampak suami duduk di tangga. Saya tanya kenapa duduk di situ (tangga) dan dia kata tengah berzikir. Kemudian, dia berpesan supaya tidak lupa membaca selawat sebanyak 100 kali.

"Malah, selepas bersara dari MDSB kira-kira tujuh tahun lalu, suami banyak menghabiskan masa dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT termasuk solat berjemaah di masjid berhampiran rumah," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Simpang Empat, Bagan Nakhoda Omar (BNO), Selangor tadi.

Sariah berkata, menjadi rutin arwah mandi selepas pulang dari kebun pisang miliknya dan bersiap untuk minum di kedai makan.

"Pada hari kejadian (semalam), dia balik (dari kebun) dan terus cuci kereta. Saya hairan kerana sebelum ini dia hanya menghantar kereta ke kedai cuci kereta.

"Hati saya amat hiba dan sedih dengan kejadian ini terutama mengingati kenangan bersama arwah. Namun, saya tetap reda dengan pemergiannya yang tidak akan kembali lagi," katanya.

Menurutnya, dia yang berkahwin dengan arwah sejak 30 tahun lalu tidak dikurniakan anak dan mengambil anak angkat, Mohammad Faizal Arif Mahudin, 21 yang dijaga sejak lahir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 4:56 PM