KELUARGA mangsa menunggu proses bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
KELUARGA mangsa menunggu proses bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Amirul Aiman Hamsuddin


Sabak Bernam: "Arwah adik ada menyatakan hasrat untuk berhenti kerja di kelong kupang dan memulakan perniagaan kimpalan bersama seorang rakan baiknya selepas meninggalkan bidang itu kira-kira tiga tahun lalu," kata Siti Zaharah Jamhari, 45, iaitu kakak kepada mangsa lemas, Jam Md Ross, 43.

Mangsa yang juga penternak kupang ditemui lemas ketika cuba menyelamatkan sampannya yang terlepas tali tambatan di Kelong Kupang Sungai Tiga, Sungai Pulai, di sini, petang semalam.

Mayat anak kedua dari lapan beradik itu dijumpai nelayan kira-kira 4.2 batu nautika dari tempat mangsa dilaporkan hilang, kira-kira 9.20 pagi tadi.

Bercerita lanjut, Siti Zaharah berkata, Allahyarham yang masih bujang menyara kehidupannya dengan mencari hasil laut terutamanya kupang.

Menurutnya, dia yang ketika itu berada di rumah ibunya, Misnah Naiman, 68, di Kampung Banting, menerima berita duka itu daripada rakan Allahyarham yang datang ke rumah kira-kira 4.15 petang semalam/

"Mak memaklumkan kepada saya, kali terakhir dia berjumpa arwah adalah pada Hari Raya Aidilfitri lalu di rumah sewa arwah di Sungai Pulai di sini.

"Kata-kata akhirnya pada mak ialah 'Minta maaf zahir dan batin. Kalau ada salah aku, harap Mak maafkan dan halalkan segala makan dan minum'.

"Arwah disifatkan sebagai seorang yang pendiam dan berahsia. Kalau ditanya sepatah, maka sepatahlah dia jawab. Dia sangat bertanggungjawab pada keluarga meskipun tidak berumah tangga lagi.

"Sehari sebelum kejadian, saya tidak boleh tidur dan gelisah memikirkan sesuatu. Tidak terdetik pula yang arwah akan meninggal dunia dalam kejadian ini," katanya yang ditemui ketika menunggu proses bedah siasat Allahyarham di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam tadi.

Sementara itu, Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung dan dibawa ke Jeti Nelayan Sungai Pulai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Setibanya di jeti, mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada 10 pagi tadi," katanya.

CAPTION

SABAK BERNAM 26 OKTOBER 2020. Keadaan keluarga penternak kupang, Allahyarham Jam Md Ross Jamhari yang menunggu proses bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam, hari ini. NSTP/AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 6:08 PM