PESERTA      bersama Ecah dan keluarga pada program kayuhan basikal amal.
PESERTA bersama Ecah dan keluarga pada program kayuhan basikal amal.
myMetro

Sabak Bernam: Seramai 300 peserta melakukan program kayuhan basikal amal untuk membantu remaja malang, Siti Nuraisyah Sahrin,13, atau Ecah yang kehilangan kedua-dua kaki akibat kemalangan jalan raya pada 18 Januari lalu.

Kayuhan amal anjuran Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) yang diadakan kelmarin itu turut mendapat kerjasama pelbagai jabatan di daerah ini antaranya Jabatan Kerja Raya (JKR), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Pejabat Kesihatan serta Pejabat Belia dan Sukan Daerah Sabak Bernam.

Setiausaha MDSB Awaluddin Zakaria berkata, objektif utama program kayuhan amal itu untuk mengumpul sumbangan kepada Ecah bagi membiayai pelbagai keperluan remaja itu terutama dalam pendidikan.

“Kami yang juga penduduk daerah ini mahu menunjukkan rasa simpati kepada Ecah dan keluarga yang ditimpa musibah,” katanya.

Menurutnya, program kayuhan amal itu mengumpulkan RM20,000 yang disumbangkan pelbagai pihak termasuk daripada syarikat, jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta peserta kayuhan itu sendiri.

Awaluddin berkata, kayuhan itu juga usaha MDSB mempromosi pelancongan sukan di daerah itu dengan mengetengahkan laluan kayuhan yang menarik kepada penggemar sukan basikal selain menikmati keindahan sawah padi, suasana kampung dan laluan mencabar.

Sementara itu, bapa tiri Ecah, Roslan Sardi, 40, berkata, mereka bersyukur kerana masih ada pihak menghulurkan bantuan kepada Ecah.

Katanya, bantuan dihulurkan itu akan digunakan untuk kemudahan dan keselesaan Ecah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2016 @ 5:13 AM