MOHD Faizul (dua dari kanan) menjadi mangsa apabila gambarnya digunakan bagi tujuan penipuan. FOTO NSTP
MOHD Faizul (dua dari kanan) menjadi mangsa apabila gambarnya digunakan bagi tujuan penipuan. FOTO NSTP
Amirul Aiman Hamsuddin


SINDIKET penipuan ternyata tidak memilih mangsa apabila Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) Mohd Faizul Fitri Muslil turut menjadi mangsa selepas gambarnya digunakan dalam aplikasi WhatsApp bagi tujuan meminta wang.

Mohd Faizul berkata, beliau menyedari perkara itu jam 10.48 malam kelmarin selepas menerima mesej WhatsApp daripada seorang Ahli Majlis MDSB.

“Saya terkejut apabila dia (Ahli Majlis) maklumkan nombor telefon tidak dikenali menggunakan gambar saya dengan tujuan penipuan.

“Saya memberitahunya hanya satu nombor telefon sahaja yang saya gunakan dan tidak mengetahui nombor yang menggunakan gambar saya bagi tujuan meminta wang,” katanya.

Mohd Faizul berkata, Ahli Majlis itu menghantar paparan mesej dihantar sindiket penipuan yang meminta wang RM3,000 untuk diserahkan kepada penama lain.

“Mujur dia bertindak pantas dengan memaklumkan kepada saya untuk kepastian.

“Malah, saya difahamkan seorang lagi Ahli Majlis membuat pindahan wang RM3,000 kepada individu yang sama,” katanya.

Menurutnya, gambarnya dipercayai diambil dari laman web rasmi MDSB bagi tujuan penipuan itu.

“Laporan dibuat di Balai Polis Sabak Bernam.

“Saya nasihatkan orang ramai tidak terpedaya WhatsApp menggunakan gambar saya yang meminta melakukan pemindahan wang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Disember 2019 @ 6:10 AM