SETAKAT ini 319 kawasan masih dalam proses pemulihan bekalan air. FOTO Arkib NSTP
SETAKAT ini 319 kawasan masih dalam proses pemulihan bekalan air. FOTO Arkib NSTP
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Sebanyak 973 kawasan terjejas ekoran Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas pada Khamis lalu, sudah pulih dan menerima bekalan air sehingga 12.30 tengah hari, hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, setakat ini 319 kawasan masih dalam proses pemulihan.

"Secara keseluruhan, 75.31 peratus daripada 1,292 kawasan terbabit dengan gangguan bekalan air tidak berjadual ini pulih sepenuhnya.

"Dalam pada itu, terdapat 55 kawasan belum pulih sepenuhnya walaupun tersenarai di dalam kawasan kumpulan satu yang sepatutnya pulih sepenuhnya pada 12 tengah malam tadi.

"Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan berkenaan," katanya katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mengikut wilayah, Hulu Selangor merekodkan pemulihan 100 peratus diikuti Kuala Selangor (99.25%); Petaling (92.43%); Gombak (76.64%); Kuala Lumpur (52.63%); Kuala Langat (50%) dan Klang/Shah Alam (38.42%).

Menurutnya, pengguna dinasihatkan supaya tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor.

"Air Selangor menasihatkan pengguna untuk mendapatkan maklumat rasmi melalui hebahan rasmi atau saluran interaksi Air Selangor dan tidak menyebarkan berita tidak sahih berhubung gangguan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2020 @ 4:00 PM