GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Hulu Selangor menjadi kawasan pertama di Selangor yang pulih sepenuhnya dari gangguan bekalan air, pagi ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, selain Hulu Selangor yang pulih 100 peratus, Kuala Selangor juga kini berada pada 99.25 peratus, diikuti dengan Petaling yang mencapai 91.78 peratus.

"Peratusan pemulihan bagi Gombak pula pada 72.99 peratus, diikuti dengan Kuala Langat yang masih kekal 50 peratus sejak semalam.

"Sementara itu, wilayah Kuala Lumpur pada 47.37 peratus dan Klang/Shah Alam berada pada 38.42 peratus," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Elina berkata, sehingga jam 6.30 pagi ini, sebanyak 948 kawasan pulih sepenuhnya, manakala 344 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan.

"Secara keseluruhan, 73.37 peratus daripada 1,292 kawasan terbabit dengan gangguan bekalan air tidak berjadual ini pulih sepenuhnya.

"Bagi kawasan kumpulan 1 yang sepatutnya pulih sepenuhnya pada 12 tengah malam tadi, masih belum pulih sepenuhnya di 69 kawasan disebabkan oleh penyimpanan air berlebihan oleh pengguna yang mula menerima bekalan air.

"Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan-kawasan ini," katanya.

Beliau juga menasihatkan pengguna supaya tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor.

"Pengguna boleh merujuk aplikasi Air Selangor, semua saluran rasmi sosial media Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com untuk mendapatkan maklumat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2020 @ 8:28 AM