Loji rawatan Air Sungai Selangor Fasa (LRASSP1).  FOTO SHAHMI IMRAN
Loji rawatan Air Sungai Selangor Fasa (LRASSP1). FOTO SHAHMI IMRAN
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Pemulihan bekalan air di tujuh wilayah terjejas akibat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas pada Khamis lalu, kini berada di tahap 80.88 peratus.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, peratusan pemulihan sehingga 6.30 petang hari ini, membabitkan 1,045 kawasan.

"Sehingga 6.30 petang, sebanyak 1,045 kawasan sudah pulih sepenuhnya, manakala 247 kawasan lagi dalam proses pemulihan.

"Secara keseluruhan, 80.88 peratus daripada 1,292 kawasan terbabit dengan gangguan bekalan air tidak berjadual ini sudah pulih sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 24 kawasan belum pulih sepenuhnya walaupun tersenarai di dalam kawasan kumpulan satu yang sepatut pulih sepenuhnya pada 12 tengah malam tadi.

Katanya, Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan berkenaan.

"Peratusan pemulihan mengikut wilayah menunjukkan Hulu Selangor sudah pulih 100 peratus diikuti Kuala Selangor (99.62 peratus); Petaling (92.43 peratus); Gombak (84.67 peratus); Kuala Lumpur (70.85 peratus); Kuala Langat (75 peratus) dan Klang/Shah Alam (39.55 peratus).

"Pengguna dinasihatkan supaya tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor.

"Air Selangor mengingatkan pengguna untuk mendapatkan maklumat rasmi melalui hebahan rasmi atau saluran interaksi Air Selangor dan tidak menyebarkan berita tidak sahih berhubung gangguan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2020 @ 8:42 PM