GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kerja pembaikan paip pecah di Persiaran Perusahaan, Seksyen 23, dekat sini, yang menyebabkan gangguan bekalan air di enam kawasan, siap dilaksanakan 6 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Elina Baseri berkata, susulan itu bekalan air di kawasan yang terjejas mula disalurkan bermula 6.15 pagi secara berperingkat.

"Air Selangor sedang berusaha menstabilkan sistem agihan bekalan air dan tempoh masa pemulihan bekalan adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

"Bekalan air di kawasan yang terjejas dijangka pulih sepenuhnya pada 12 tengah hari ini," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, bantuan air alternatif melalui lori tangki akan terus digerakkan di kawasan yang terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Menurutnya, pengguna diharap dapat mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air dari lori tangki.

"Air Selangor ingin menyarankan pengguna yang sudah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

"Air Selangor turut berharap agar pengguna yang mendapat bekalan air akan menggunakannya secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan.

"Pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300. Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor," katanya.

Semalam, enam kawasan di Shah Alam mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual akibat insiden paip pecah di Persiaran Perusahaan, Seksyen 23.

Kawasan yang terbabit ialah Seksyen 18, Seksyen 19, Seksyen 20, Seksyen 23, Seksyen 24 dan Seksyen 25.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 10:20 AM