GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Tiga daripada tujuh wilayah yang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak Khamis lalu sudah pulih sepenuhnya, setakat 6.30 pagi ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, tiga wilayah berkenaan adalah Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor yang mencapai pemulihan 100 peratus.

"Sebanyak 136 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan di empat wilayah iaitu Klang/Shah Alam, Gombak, Petaling dan Kuala Lumpur.

"Secara keseluruhannya, sejumlah 1,156 dari 1,292 kawasan yang terbabit dengan gangguan bekalan air tidak berjadual sudah pulih sepenuhnya dengan peratusan pemulihan pada tahap 89.47 peratus," katanya.

Beliau berkata, sebanyak lapan kawasan masih terjejas walaupun tersenarai di dalam kawasan kumpulan satu yang sepatutnya pulih sepenuhnya pada 12 tengah malam semalam.

Menurutnya, 54 kawasan yang berada dalam kumpulan dua juga masih belum mendapat bekalan air yang sepatutnya pada 12 tengah malam tadi.

"Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan-kawasan ini," katanya.

Elina berkata, pengguna dinasihatkan supaya tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual.

"Air Selangor juga mengingatkan pengguna untuk mendapatkan maklumat rasmi melalui hebahan rasmi atau saluran - saluran interaksi Air Selangor dan tidak menyebarkan berita tidak sahih berhubung gangguan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 9:50 AM