GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my


KERJA baik pulih sistem rumah pam Taman Melawati yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di Gombak siap sepenuhnya 1 pagi tadi.

Sehubungan itu, Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, bekalan air mula disalurkan secara berperingkat ke kawasan terjejas.

"Bekalan air mula disalurkan ke 16 kawasan di wilayah Gombak yang terjejas dan pemulihan adalah secara berperingkat.

"Air Selangor menjangkakan keadaan di kawasan terbabit akan pulih sepenuhnya jam 6 petang ini.

"Segala usaha sedang diambil oleh Air Selangor bagi mempercepat proses pemulihan bekalan serta meminimumkan impak gangguan kepada pelanggan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Elina berkata, bantuan bekalan air menerusi lori tangki terus digerakkan ke kawasan yang masih belum mendapat bekalan air.

"Pengguna boleh menghubungi talian 15300 dan WhatsApp 019-2800919 atau 019-2816793 untuk memohon bantuan bekalan air kecemasan ini.

"Air Selangor akan memaklumkan status pemulihan bekalan air ini dari semasa ke semasa melalui semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor di Facebook, Twitter dan Instagram, aplikasi telefon pintar Air Selangor atau laman web, www.airselangor.com.," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 9:11 AM