ORANG ramai menadah air bukit di Persiaran Mokhtar Dahari pada hari kedua gangguan bekalan air di Selangor dan Kuala Lumpur. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM
ORANG ramai menadah air bukit di Persiaran Mokhtar Dahari pada hari kedua gangguan bekalan air di Selangor dan Kuala Lumpur. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Penduduk Selangor yang menghadapi masalah bekalan air sejak Khamis lalu susulan penutupan empat Loji Rawatan Air (LRA) mula mendapat bekalan air bermula 12 tengah hari, hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, usaha menstabilkan sistem agihan bekalan air sedang giat dilaksanakan untuk mempercepatkan proses pemulihan bekalan air ke kawasan terjejas.

"Air Selangor menjangkakan bekalan air akan pulih sepenuhnya pada 6 pagi, 9 September ini (Rabu).

"Oleh itu, Air Selangor memohon kerjasama pelanggan yang sudah menerima bekalan agar menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan terjejas berjalan lancar," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pengguna boleh mendapatkan bekalan air melalui pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang beroperasi 24 jam untuk kemudahan pengguna yang memerlukan bekalan air semasa tempoh pemulihan bekalan air.

Katanya, Air Selangor turut menasihatkan pengguna mematuhi garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semasa mengambil bekalan air di PKS dan pili air awam.

"Pengguna yang datang untuk mengambil air digalakkan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal satu meter ketika beratur.

"Air Selangor akan mengemaskini maklumat pemulihan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2020 @ 3:25 PM