GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuantan: Seorang penjual nasi lemak didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan menganjurkan kumpulan 'wang kutu', dua tahun lalu.

Nor Jaimah Kamarudin, 36, yang berasal dari Seberang Perai, Pulau Pinang selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Dia didakwa mengutip wang daripada lima ahli kumpulan berkenaan, yang juga larangan mengikut Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971, antara Januari hingga Ogos 2018 di Kubang Semang, Pulau Pinang.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM500,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Siti Aminah menetapkan sebutan semula kes pada 24 September untuk serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Mohd Iqbal Mohd Yusoff manakala OKS diwakili peguam Gunamalar Joorindanjn.

Difahamkan OKS mencari ahli kumpulan wang kutu melalui media sosial Facebook dengan ahlinya berasal dari pelbagai negeri termasuk Pahang dan Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2020 @ 6:32 PM