MULKIAMAN (tengah) menunjukkan peralatan serta barang yang dirampas daripada Lie Pintu. FOTO Amran Hamid
MULKIAMAN (tengah) menunjukkan peralatan serta barang yang dirampas daripada Lie Pintu. FOTO Amran Hamid
Zuliaty Zulkiffli


KEGIATAN licik seorang lelaki yang melakukan 17 kes pecah kedai di dua daerah termasuk membakar dua premis berakhir apabila dia ditahan polis pada 18 Ogos lalu.

Lelaki berusia 20-an yang dikenali sebagai 'Lie Pintu' itu ditahan di tepi Jalan Tunku Bendahara, di Padang Terap menerusi Ops Pintu pada 9 pagi.

Selain memecah masuk bangunan, suspek turut membakar sebuah restoran makanan segera dan sebuah stesen minyak di Pokok Sena baru-baru ini kerana tidak berpuas hati disebabkan tiada habuan yang diperoleh.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, suspek dipercayai terbabit dalam jenayah pecah masuk membabitkan 12 premis perniagaan di Padang Terap dan lima premis di Pokok Sena dalam daerah Kota Setar.

Beliau berkata, suspek dipercayai melakukan kegiatan itu seorang diri sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.

"Hasil soal siasat, suspek melakukan jenayah itu dengan memutuskan bekalan elektrik iaitu dengan menanggalkan fius pada meter sebelum mengumpil pintu atau tingkap dengan pemutar skru untuk masuk ke dalam premis.

"Tujuan suspek memutuskan bekalan elektrik adalah memastikan kamera rakaman litar tertutup (CCTV) tidak berfungsi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap, hari ini.

Mulkiaman berkata, suspek mensasarkan premis yang menyimpan wang tunai malah dia turut mencuri barangan lain yang mempunyai nilai seperti rokok dan barangan elektronik.

Beliau berkata, wang hasil curi itu biasanya digunakan untuk membeli bekalan syabu manakala barangan yang dicurinya dijual atau ditukar dengan syabu.

"Suspek mengaku mendapat habuan antara RM100 hingga RM500 setiap kali melakukan kegiatan ini.

"Dia juga akan bertindak keterlaluan dengan membakar premis sekiranya tidak memperoleh habuan," katanya.

Mulkiaman berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif methapetamine.

Beliau berkata, pihaknya percaya suspek akan mengambil dadah setiap kali melakukan kegiatan pecah masuk premis.

"Antara premis yang dipecah masuk ialah kedai runcit, stesen minyak, pasar raya, kedai serbaneka dan aksesori kereta," katanya.

Beliau berkata, berikutan itu pihaknya merampas satu plastik yang mengandungi set mini pembesar suara, satu unit lampu kepala dan satu pemutar skru yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan itu.

Susulan daripada itu, pihaknya turut merampas satu kit unit dron, aerocraft Quadcopter merah, kabel pengecas, dua unit kipas gantian dan satu alat kawalan jauh.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Suspek turut terbabit memecah masuk dan membakar stesen minyak di Jalan Naka, Pokok Sena dan membakar restoran makanan segera di Pokok Sena.

"Lelaki itu direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) sehingga Isnin ini untuk membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2020 @ 4:34 PM