Zuliaty Zulkiffli


LELAKI yang menunggu pelanggan untuk mengambil 160 bungkusan plastik mengandungi daun ketum tidak menyangka rupanya polis sampai di rumahnya.

Tindakan lelaki itu menjadikan garaj belakang rumahnya di Kampung Tandop, Lamdin, Padang Terap, sebagai tempat menyimpan daun ketum terbongkar apabila polis menyerbu kawasan itu, Khamis lalu.

Suspek berusia 35 tahun itu dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak dua tahun lalu dengan memetik daun ketum ditanam sendiri di kawasan kebun seluas lebih satu hektar di situ selain bekerja sebagai peniaga kedai runcit.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap pada 1 tengah hari.

Beliau berkata, pihaknya menahan lelaki itu yang ketika itu sedang berehat dalam rumahnya selepas selesai membungkus daun ketum dan menunggu pelanggan untuk mengambilnya.

"Hasil pemeriksaan menemui 160 bungkusan plastik hitam dipercayai mengandungi daun ketum di bawah garaj bertutup kanvas biru.

"Setiap bungkusan plastik hitam itu mengandungi lima kilogran daun ketum dan berat keseluruhan adalah 800 kilogram serta bernilai RM8,000," katanya pada sidang media di IPD Padang Terap, hari ini.

Hadir sama, Ketua BSJN Padang Terap, Inspektor Ab Halim Mohd Sajudi.

Mulkiaman berkata, hasil siasatan lanjut mendapati, suspek bertindak sebagai peraih daun ketum dengan membelinya daripada penanam ketum di sekitar Naka dan Kampung Lamdin pada harga RM6 sekilogram.

Beliau berkata, suspek dipercayai terbabit sebagai pembekal daun ketum berkenaan kepada pembeli dari Padang Besar dan Wang Kelian di Perlis dengan harga RM9 sekilogram.

"Pembeli dipercayai datang sendiri di kawasan rumahnya yang berselindung di sebalik kedai runcit milik suspek.

"Suspek yang sudah berkahwin itu mengaku menjalankan menjalankan aktiviti menjual daun ketum itu sejak dua tahun lalu tetapi tidak secara berterusan dan mengikut permintaan pelanggan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM10,000 atau dipenjara empat tahun," katanya.

MULKIAMAN (kanan) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada 800 kilogram daun ketum dirampas pada sidang media, hari ini. FOTO AMRAN HAMID
MULKIAMAN (kanan) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada 800 kilogram daun ketum dirampas pada sidang media, hari ini. FOTO AMRAN HAMID

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2020 @ 3:32 PM