LAPORAN portal Harian Metro
LAPORAN portal Harian Metro
Raja Noraina Raja Rahim


PEMANDU kereta Toyota Vios yang memandu lawan arus di laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan berhampiran Angkasapuri menyerah diri, petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, lelaki berusia 20-an itu datang ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk membuat laporan.

"Pegawai penyiasat masih menjalankan siasatan terhadap lelaki itu bagi mengetahui punca kejadian," katanya.

Terdahulu, portal berita Harian Metro melaporkan polis memburu pemilik kereta yang dipandu lawan arus di laluan motosikal sehingga menyebabkan seorang penunggang motosikal terbabit kemalangan, Rabu lalu.

Kejadian berlaku 4 petang apabila pekerja bank berusia 29 tahun menunggang motosikal dari arah Petaling Jaya menghala ke Putrajaya terlanggar tembok kiri di bahu jalan akibat mengelak daripada melanggar kereta yang melawan arus itu.

Video dirakam mangsa sebelum kejadian jelas menunjukkan pemandu kereta melawan arus di laluan motosikal secara tiba-tiba keluar dari terowong dan seterusnya menyebabkan penunggang terbabit hilang kawalan lalu terlanggar tembok sementara pemandu kereta meneruskan perjalanan.

Berita berkaitan

Polis cari pemandu Vios [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 8:44 PM