MANGSA yang maut dirempuh kenderaan. Foto ihsan Polis
MANGSA yang maut dirempuh kenderaan. Foto ihsan Polis
Mohd Amin Jalil


HASRAT seorang wanita mahu menunaikan solat Subuh berjemaah di surau berhampiran kediamannya bertukar tragedi apabila mangsa maut dirempuh kereta.

Dalam kejadian pada 6 pagi tadi, Noaniza Mohamed Amin, 42, dikatakan berjalan menuju ke Surau Al-Muqarrabin Kampung Mambau dekat Pekan Mambau.

Bagaimanapun, mangsa dilanggar sebuah Perodua Myvi dipandu seorang lelaki berusia 61 tahun.

Kemalangan itu turut menyebabkan dua lagi maut di tempat kejadian membabitkan suami isteri, K Thamotharan, 44, dan S Ramadevi, 38.

Ketua Polis Seremban Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, nahas itu membabit kereta, motosikal dan seorang pejalan kaki.

Menurutnya, Perodua Myvi berkenaan dipercayai hilang kawalan dan masuk di laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal dinaiki suami isteri.

"Difahamkan, kedua mangsa itu dalam perjalanan dari arah Taman Kelab Tuanku Seremban menuju ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban untuk bekerja.

"Akibat pelanggaran itu, Perodua Myvi terbabit berpusing dan kemudiannya melanggar Noaniza," katanya.

Menurutnya, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk proses bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita berkaitan:

  • 3 maut dirempuh kereta
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 4:28 PM