ANGGOTA pasukan keselamatan mengutip cebisan tubuh mangsa. FOTO Ihsan Polis
ANGGOTA pasukan keselamatan mengutip cebisan tubuh mangsa. FOTO Ihsan Polis
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


LELAKI maut dalam keadaan tragis apabila digilis beberapa kenderaan menyebabkan tubuhnya hancur di Kilometer 274.3, Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, hari ini.

Dalam kejadian jam 5.40 pagi itu, G Muniandy, 50 melintas jalan menuju ke R&R itu kerana motosikal yang ditunggangi kehabisan petrol.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, mangsa dilanggar sebuah Perodua Myvi dari arah Seremban menuju Nilai yang tidak menyedari mangsa melintas jalan.

“Kereta itu yang berada di lorong paling kanan tidak sempat mengelak lalu merempuh lelaki berkenaan.

“Mangsa tercampak di atas jalan sebelum digilis beberapa kenderaan lain," katanya.

Mohd Nor Marzukee berkata, kejadian itu menyebabkan seluruh tubuh mangsa hancur.

“Polis yang menerima panggilan orang awam bergegas ke lokasi. Mereka kemudian dibantu bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM), lebih dua jam masa diambil bagi mengutip cebisan tubuh mangsa,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di Seremban.

Menurutnya, pemandu Perodua Myvi berkenaan, A Tharmendra, 30, cedera di tangan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Menurut Mohd Nor Marzukee, pihaknya turut menemui motosikal milik mangsa yang diletakkan 30 meter dari lokasi kejadian selain sedang mengesan ahli keluarganya yang menetap di Mantin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 10:45 AM