DAUN dan air ketum yang dirampas anggota PGA selepas pemeriksaan keatas sebuah van ketika melalui RCP Kalabakan, di Kilometer 146, Jalan Kalabakan - Sepulut. FOTO IHSAN PGA
DAUN dan air ketum yang dirampas anggota PGA selepas pemeriksaan keatas sebuah van ketika melalui RCP Kalabakan, di Kilometer 146, Jalan Kalabakan - Sepulut. FOTO IHSAN PGA
Abdul Rahemang Taiming


EMPAT individu ditahan selepas disyaki cuba menyeludup 49,500 liter air ketum dan dua kilogram daun ketum dalam sekatan jalan raya di Kilometer 146, Jalan Kalabakan-Sepulut, Kalabakan, hari ini.

Semua suspek warga tempatan termasuk pemandu van ditahan ketika melalui pemeriksaan Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau kira-kira 1.30 tengah hari.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, Superintendan Mohd Yacob Murad berkata, pemeriksaan awal mendapati van terbabit dalam perjalanan dari Keningau menuju ke Tawau.

Menurutnya, terdapat tiga penumpang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita masing-masing berumur antara 29 hingga 56 tahun berada di dalam van berkenaan.

"Bagaimanapun, selepas membuat pemeriksaan lanjut, anggota bertugas menjumpai tiga kotak mengandungi 33 botol (49,500 liter) disyaki air ketum.

"Selain itu, turut ditemukan sebuah lagi kotak yang didalamnya mengandungi kira-kira dua kilogram daun ketum yang belum diproses," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Yacob berkata, rampasan berkenaan adalah kes pertama di daerah ini membabitkan daun dan air ketum.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan daun dan air ketum terbabit dijual bagi memenuhi permintaan tempatan selain daerah berhampiran.

"Selain barang rampasan, kami juga menyita sebuah van yang digunakan dengan anggaran nilai keseluruhan berjumlah RM107,050.00.

"Semua suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 5:13 PM