MOHD Radzi menunjukkan bungkusan air ketum di stor memproses ketum di Kampung Seberang Alor, Tebengau. FOTO Zuliaty Zulkiffli
MOHD Radzi menunjukkan bungkusan air ketum di stor memproses ketum di Kampung Seberang Alor, Tebengau. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


SEBUAH kedai makan di tengah sawah di Kampung Seberang Alor, Tebengau, Alor Setar, yang menjadi tumpuan pelanggan kerana menjual air ketum rupanya turut mempunyai stor memproses dan menyimpan daun ketum.

Tinjauan mendapati ada empat kamera rakaman litar tertutup (CCTV) yang mana satu daripadanya dipasang dalam stor memproses ketum manakala tiga lagi dalam kedai makan yang hanya terletak kira-kira 50 meter.

Bagaimanapun, perbuatan lelaki berusia 44 tahun yang juga pesawah itu terbongkar apabila sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, yang membuat serbuan di lokasi itu semalam.

Kedai makan milik lelaki itu dibuka jam 8 pagi hingga 12 tengah malam dan menjadi tumpuan mereka yang ketagih air ketum.

Operasi diketuai Asisten Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim pada jam 5 petang hasil maklumat dan risikan yang dilakukan.

Ketika serbuan dilakukan, lelaki itu dikatakan baru selesai membungkus daun ketum untuk dijual di kedai makannya manakala sebahagian lagi untuk pasaran di sekitar kawasan berhampiran.

Hasil pemeriksaan menemui beberapa tong fiber yang mengandungi lebih 1,000 bungkusan air ketum selain tempat rebusan daun ketum.

Lelaki itu mendakwa dia pernah beberapa kali ditahan pihak berkuasa namun masih menjalankan kegiatan itu disebabkan sambutan lumayan dan menguntungkan.

TIMBUNAN daun ketum segar yang disimpan dalam stor. FOTO Zuliaty Zulkiffli
TIMBUNAN daun ketum segar yang disimpan dalam stor. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Katanya, dalam sehari dia mampu memperoleh keuntungan sehingga mencecah RM2,000 hingga RM3,000 menjual air ketum.

Daun ketum itu dibeli melalui penduduk kampung yang menanam pokok berkenaan dengan harga RM12 sekilogram dan menjual air ketum pada harga antara RM2 hingga RM5 sebungkus.

Selain itu, pemeriksaan di stor belakang juga menemui timbunan daun ketum segar yang belum diproses yang dipercayai baru dikutip.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

"Air ketum yang siap dibungkus itu dirampas untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 12:42 PM