Mary Victoria Dass


Kulai: Dua lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan memproses daun ketum di sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Sri Puteri 12/3, Taman Putri di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, serbuan dijalankan pada 9 pagi hasil maklumat daripada orang ramai serta intipan anggota polis.

Beliau berkata, hasil serbuan menemukan sejumlah 38 bungkusan plastik hitam mengandungi 50 paket plastik lutsinat dipercayai daun ketum.

Menurutnya, anggaran berat daun ketum berkenaan adalah 380 kilogram selain pasukan polis turut menjumpai empat tong yang setiap satu berisi 30 paket plastik lutsinar berisi cecair bewarna merah kehijauan disyaki air ketum dalam anggaran 180 liter.

Katanya, polis turut merampas peralatan disyaki digunakan oleh kedua-dua suspek untuk memproses ketum.

"Ia termasuk dua tong periuk, dua set dapur tungku memasak serta hos, satu unit penapis besi, gayung, penyenduk, penapis, penyumbang dan 107 botol ubat batuk serta nilai rampasan keseluruhan adalah RM7,000.

"Mereka dipercayai mendapatkan bekalan ketum dari Kedah bagi menjalankan kegiatan itu sejak dua bulan lalu.

"Malah kedua-dua suspek dipercayai mampu meraih keuntungan kira-kira RM12,000 sebulan hasil jualan air ketum," katanya.

Beliau berkata, setiap bungkusan air berkenaan dijual pada harga RM15 dan dipercayai mereka menggunakan perkhidmatan penghantar untuk menyampaikan bekalan berkenaan.

Menurutnya, air ketum itu dipercayai bagi bekalan di sekitar Ulu Tiram, Pasir Gudang, Masai dan Kulai.

Katanya, rampasan itu adalah terbesar di Kulai setakat ini dan polis masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti suspek lain.

"Kedua-dua suspek ditahan berusia 39 dan 45 tahun mengaku terbabit dalam memproses dan mengedar air ketum.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah namun mereka memiliki satu rekod lampau berkaitan dadah mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) akta sama.

"Mereka ditahan reman pada hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

"Jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya selalu," katanya di sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai di sini, hari ini.

Tok Beng Yeow menunjukkan hasil rampasan daun ketum dan air ketum dari sebuah rumah di Taman Putri, Kulai di IPD Kulai hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Tok Beng Yeow menunjukkan hasil rampasan daun ketum dan air ketum dari sebuah rumah di Taman Putri, Kulai di IPD Kulai hari ini. FOTO Mary Victoria Dass

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 1:09 PM