SUSPEK ditahan PGA kerana cuba menyeludup kosmetik dan barangan sukan melalui perairan Pulau Boheyan, semalam. FOTO ihsan PGA.
SUSPEK ditahan PGA kerana cuba menyeludup kosmetik dan barangan sukan melalui perairan Pulau Boheyan, semalam. FOTO ihsan PGA.
Abdul Rahemang Taiming


PASUKAN Gerakan Am (PGA) menahan dua lelaki warga asing dan merampas barangan kosmetik serta sukan yang cuba diseludup ke Semporna melalui perairan Pulau Boheyan, semalam.

Semua barangan terbabit dirampas hasil pemeriksaan sepasukan anggota PGA menerusi Ops Benteng Covid-19, diketuai Asisten Superintendan Jarraw Madong selepas terserempak dengan sebuah pam bot dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan pada 8.50 pagi.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau Superintendan Mohd Yacob Murad berkata, terdahulu pihaknya yang menjalankan rondaan terserempak dengan bot dinaiki dua suspek bergerak dari arah sempadan perairan Filipina menuju ke perairan Malaysia.

Katanya, sebaik menyedari kehadiran pasukan keselamatan, juragan bot memecut laju untuk meloloskan diri namun berjaya dipintas sebelum ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

"Pemeriksaan awal mendapati seorang daripada mereka adalah rakyat tempatan berumur 55 tahun, manakala seorang lagi lelaki berumur 38 tahun tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Turut ditemui sebanyak 286 botol kecil barangan kosmetik jenama 'Claridem' selain sejumlah 196 biji bola tampar disimpan di dalam guni dan sekeping mata wang Filipina bernilai 500 Peso," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Yacob berkata, semua barangan terbabit dipercayai cuba diseludup dan dipasarkan di Semporna.

"Tangkapan dan barang rampasan termasuk sebuah pam bot bersama dua unit enjin sangkut dan 75 liter minyak petrol dianggarkan berjumlah RM6,157.90 dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan selanjutnya.

"Kes masing-masing disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

SEMPORNA 21 OGOS 2020. Suspek ditahan PGA kerana disyaki cuba menyeludup kosmetik dan barangan sukan, melalui perairan Pulau Boheyan, dekat sini, semalam. Nstp / Ihsan PGA.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 12:24 PM