Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sudah menerima laporan mengenai dapatan analisis dilakukan pakar dari Amerika Syarikat berhubung video intim yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, kertas siasatan berhubung kes terbabit juga sudah dilengkapkan dan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Laporan mengenai video itu sudah kami terima pada hujung tahun lalu dan kertas siasatan sudah diserahkan kepada Peguam Negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed. FOTO Hafiz Sohaimi
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed. FOTO Hafiz Sohaimi

“Polis bersama-sama Peguam Negara akan membuat kenyataan dalam masa terdekat bagi memaklumkan perkembangan siasatan kes berkenaan,” katanya pada Majlis Meraikan Atlet PDRM Sukan SEA 2019 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Huzir berkata, pegawai siasatan dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) juga bertemu dengan pihak Peguam Negara, petang ini, berhubung tiga kes yang sedang dikendalikan unit berkenaan.

“Perjumpaan itu adalah bagi membincangkan mengenai tiga kes utama membabitkan kes video intim itu, pengakuan bersumpah Azilah Hadri dan pengakuan bersumpah Muhammad Yusoff Rawther,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 5:07 PM