Nurul Hidayah Bahaudin


PRESIDEN Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia, Ramesh Rao akan dipanggil ke Bukit Aman esok, untuk dirakam keterangan.

Beliau dipanggil susulan laporan seorang lelaki yang mendakwa keputusan membuat akuan bersumpah (SD) berhubung kes liwat membabitkan pemimpin parti politik sebelum ini dipengaruhi oleh Ramesh.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, ketika ini, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

"Kami akan memanggil Ramesh untuk dirakam percakapan di Bukit Aman esok, selepas satu laporan diterima berhubung isu SD itu.

"Polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh berkaitan kes ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, polis dilaporkan membuka kertas siasatan berhubung dakwaan kes liwat membabitkan pemimpin parti politik berikutan tular SD seorang lelaki mendakwa menerima bayaran RM300 untuk melakukan perbuatan itu.

SD bertarikh 29 Jun lalu itu dikatakan dibuat seorang lelaki mendakwa kejadian berkenaan berlaku di sebuah hotel di Subang pada 2013.

Lelaki berkenaan turut mendakwa dihubungi pemimpin politik itu untuk bertemu di hotel sebelum melakukan perbuatan berkenaan dengan bayaran RM300.

Berita berkaitan

Polis siasat dakwaan kes liwat pemimpin politik

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2020 @ 5:28 PM