Anwar bercakap kepada media selepas selesai memberikan keterangan di Bukit Aman semalam. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Anwar bercakap kepada media selepas selesai memberikan keterangan di Bukit Aman semalam. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan siasatan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, bermotifkan politik.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan dijalankan secara profesional tanpa menerima sebarang tekanan politik atau arahan daripada mana-mana pihak.

Menurutnya, enam siasatan dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman ke atas Presiden PKR itu termasuk penyebaran senarai nama 121 Ahli Parlimen di portal MH Daily.

"Antara lain adalah isu kenyataan bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sudah jatuh kerana kekurangan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

"Turut diambil keterangan mengenai kes liwat dan akuan bersumpah oleh Aidil Azim Abu Adam, video ucapan mendakwa kedai judi beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), video ucapan mendakwa terdapat 6.7 juta warga asing berada di Malaysia serta sidang media penyerahan dokumen sahih kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam kenyataan hari ini.

Huzir berkata, proses rakaman percakapan Anwar itu turut dihadiri peguamnya, Ram Karpal Singh dan Setiausaha Politik, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Setakat ini, sebanyak 113 laporan polis diterima termasuk aduan daripada kalangan Ahli Parlimen yang menafikan memberi sokongan.

"Dakwaan itu tersebar luas di media massa sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi yang tidak sihat. Penyebaran kenyataan dilakukan dengan niat menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam supaya terdorong melakukan sesuatu kesalahan terhadap negara atau ketenteraman awam," katanya.

Beliau menggesa semua pihak memberi ruang sepenuhnya kepada PDRM menjalankan siasatan secara telus dan adil, malah tindakan tegas akan diambil kepada individu sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam.

Portal myMetro semalam melaporkan, Anwar mendakwa enam kertas siasatan yang dibuka polis terhadapnya bermotifkan politik.

Anwar percaya proses rakaman keterangannya di Bukit Aman bermula 3 petang adalah arahan politik untuk menekan beliau mendedahkan nama Ahli Parlimen yang menyokongnya dalam penjajaran politik baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2020 @ 11:46 AM