Anggota Penguatkuasa JIM Kelantan dengan kerjasama MDKPI menahan sebahagian warga asing. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Anggota Penguatkuasa JIM Kelantan dengan kerjasama MDKPI menahan sebahagian warga asing. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Amalina Alias


LAKONAN tangisan sambil mendukung anak kecil antara situasi yang mewarnai operasi menggempur premis perniagaan dan penempatan warga asing tanpa izin (Pati) di Melor dan kawasan sekitarnya, semalam.

Operasi dijalankan Majlis Daerah Ketereh-Perbandaran Islam (MDK-PI) dan Jabatan Imigresen Malaysia dalam Ops Bersepadu Warga Asing pada jam 4 petang hingga 8 malam itu berjaya menggempur beberapa kawasan penempatan yang umpama perkampungan warga Myammar etnik Rohingya apabila kawasan itu dikuasai sepenuhnya kumpulan Pati terbabit.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Undang-Undang MDK-PI Mohd Noor Affendy Abdul Shukor berkata, operasi itu dilaksanakan hasil risikan pihaknya dan aduan orang awam.

Katanya, dalam operasi itu, pihaknya memeriksa 14 premis perniagaan, 12 penempatan dan 37 warga asing etnik Rohingya dan Pakistan di Melor, Kadok dan Kok Lanas.

"Kita menahan 22 individu atas kesalahan tidak memiliki pengenalan diri, menyita lima premis perniagaan dan mengeluarkan 10 kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Kebersihan Awam.

"Ini kerana warga asing itu tinggal menyewa beramai-ramai dalam satu rumah dan kebiasaannya pekerjaan yang dilakukan adalah mencari dan menjual besi buruk menyebabkan kebanyakan aduan dibuat membabitkan soal kebersihan kawasan penempatan kerana dipenuhi timbunan besi buruk, bahan kitar semula dan sampah-sarap," katanya pada sidang media di Dewan MDK-BI, hari ini.

Mohd Noor Affendy berkata, selain menjual besi buruk, kebanyakan Pati bekerja sebagai buruh binaan, membuka bengkel membaiki motosikal dan menjalankan perniagaan kedai runcit serta kedai makan yang berselindung di sebalik lesen penama warga tempatan.

Katanya, mereka ditahan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Seksyen 107(2) kerana melanggar syarat lesen UUK Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MDK-PI.

Menurutnya, mereka turut ditahan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di negara ini tanpa pasport atau pas yang sah dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigeresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas dan Peraturan 38(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas dengan bekerja di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 6:13 PM