ANTARA PATI yang ditahan untuk pemeriksaan dalam serbuan Ops Mega 2.0.
ANTARA PATI yang ditahan untuk pemeriksaan dalam serbuan Ops Mega 2.0.
Iskandar Shah Mohamed

Shah Alam: Selepas berakhirnya tempoh program E-Kad pada 15 Februari lalu, Jabatan Imigresen Selangor melaksanakan Ops Mega 2.0 dengan menggempur pendatang asing tanpa izin (PATI) di dua lokasi berasingan di sekitar negeri ini, semalam.

Serbuan bermula jam 9 malam itu membabitkan sebuah kilang di Taman Sentosa, Klang dan penempatan rumah kongsi tapak pembinaan di Kota Warisan, Sepang.

Dalam operasi sehingga jam 3 pagi itu, 124 warga asing termasuk wanita berusia antara 18 hingga 44 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Malah, akibat terlalu panik dan mengelak daripada dicekup, ada daripada mereka cuba melarikan diri selain berpura-pura kononnya mempunyai permit sah.

Pengarah Imigresen Selangor Omran Omar berkata, operasi yang disertai sepasukan 50 pegawai dan anggota itu dilakukan hasil risikan serta maklumat awam mengenai kewujudan PATI di dua lokasi berkenaan.

“Dalam serbuan pertama di Klang, kami menjalankan pemeriksaan terhadap seramai 186 warga asing, membawa kepada penahanan 47 daripada mereka.

“Bagi lokasi berikutnya di Sepang, seramai 201 lagi diperiksa dan 77 daripadanya ditahan bagi siasatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua yang ditahan membabitkan 59 lelaki Bangladesh, 31 lelaki India dan 16 lelaki Indonesia diikuti Nepal (6), Myanmar (4), Pakistan (2), Vietnam (1) selain empat wanita Indonesia serta seorang wanita Vietnam.

“Kesalahan antaranya tiada pas atau permit kerja, tinggal lebih masa dan menggunakan pelekat atau cop palsu serta kesalahan lain yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Semua mereka dibawa ke Bahagian Penguat Kuasa Imigresen negeri di Shah Alam untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 4:55 AM