Nor Amalina Alias

Pasir Puteh: Seramai 140 petani Mukim Merkang dan Nara di sini menanggung kerugian RM1.4 juta apabila tanaman padi mereka ditenggelami banjir.

Kerugian membabitkan 280 hektar kawasan padi yang hanya menunggu masa untuk dituai.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Cherang Rotan, A Rahim Yunus berkata padi di kawasan itu dinaiki air setinggi lebih satu meter dalam kejadian banjir pada 18 Disember lalu dan ditenggelami air selama empat hari.

"Sepatutnya hujung bulan lalu petani sudah boleh tuai hasil tetapi bila banjir melanda semua tanaman ditenggelami banjir dan tidak dapat diselamatkan.

"Bila tak dapat hasil, mereka tiada modal untuk mulakan semula tanaman," katanya ketika ditemui di Kampung Merkang di sini, hari ini.

Katanya, biasanya petani mampu menjana hasil RM5,000 untuk sehektar padi.

Sementara itu, petani, Zulkifli Mohd Noor, 57 berkata, dia tidak dapat menuai hasil semua tanaman padi seluas 0.8 hektar yang ditanam musim lalu.

Katanya, banjir menyebabkan padi mati sekali gus terpaksa menanggung kerugian dan tidak dapat membayar hutang kepada persatuan untuk dijadikan modal tanam semula.

Manakala Mohd Shamsudin Deraman, 65, pula berkata daripada satu hektar padi yang biasanya memperoleh hasil 40 guni hanya boleh dituai tiga guni sahaja kali ini.

"Petani orang susah, kebanyakan kami berhutang antara RM1,000 hingga RM5,000 untuk buat modal tanam padi tapi dapat 0.4 hektar pun dalam RM30 sahaja sebab banjir," katanya.

 Sebahagian petani mukim Merkang dan Nara, Pasir Puteh menunjukkan padi yang rosak menyebabkan 140 petani kerugian RM1.4 juta akibat ditenggelami banjir. FOTO Nor Amalina Alias
Sebahagian petani mukim Merkang dan Nara, Pasir Puteh menunjukkan padi yang rosak menyebabkan 140 petani kerugian RM1.4 juta akibat ditenggelami banjir. FOTO Nor Amalina Alias

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 12:06 PM