KERETA yang digunakan suspek. FOTO ihsan pembaca
KERETA yang digunakan suspek. FOTO ihsan pembaca
Wartawan Harian Metro


ORANG ramai panik apabila anggota polis melepaskan beberapa das tembakan di bahagian tayar kereta dipandu seorang penjenayah di Jalan Sentul, di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian jam 3.40 petang itu, orang ramai yang berada di sekitar lokasi kejadian terkejut dengan kejadian yang berlaku.

Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku apabila anggota polis cuba menahan seorang lelaki dipercayai suspek kes dadah.

Sumber berkata, ketika tiba di hadapan Ong Tai Kim di Jalan Sentul sepasukan anggota polis menahan kereta berkenaan.

"Namun, pemandu kereta terbabit enggan berikan kerjasama dan bertindak agresif sebelum melanggar kereta dinaiki anggota polis.

"Polis kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kereta suspek bagi memberhentikan kenderaan itu," katanya.

Katanya, suspek berjaya ditahan dan pemeriksaan ke atas kenderaan dinaiki suspek menemui pelbagai jenis dadah.

"Suspek kini ditahan di IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Sentul untuk siasatan lanjut," katanya.

Harian Metro difahamkan, kenyataan rasmi berhubung kejadian itu akan dikeluarkan pihak berkuasa dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 8:00 PM