SUSPEK ditahan disyaki terbabit dalam kes dadah. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
SUSPEK ditahan disyaki terbabit dalam kes dadah. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
Oleh Hazsyah Abdul Rahman


Sandakan: Lelaki dan wanita disyaki terbabit dalam aktiviti dadah diberkas selepas polis mengejar kereta dinaiki suspek di Bandar Kim Fung, Batu Empat, Sandakan, kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Menurut sumber, anggota polis mengejar suspek selama hampir 20 minit dan terpaksa melepaskan satu das tembakan pada tayar kereta suspek.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Zabidi Md Zain berkata, tindakan itu terpaksa dilakukan berikutan faktor keselamatan anggota dan orang awam kerana suspek pemandu agak berbahaya.

"Terdapat kenderaan awam turut dilanggar oleh suspek dalam kejadian itu sebelum suspek berjaya diberkas," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua suspek masing-masing berusia 20-an mendapati positif dadah dan turut mempunyai rekod berkaitan kes dadah.

Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut masih diteruskan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2015 @ 10:19 PM