Raja Noraina Raja Rahim


TAKTIK sindiket pengedaran syabu menggunakan bungkusan teh Cina untuk mengaburi mata pihak berkuasa tidak berhasil apabila tiga ahli sindiket itu diberkas polis, Khamis lalu.

Ketiga-tiga suspek termasuk seorang lelaki warga Singapura dipercayai pembekal dan orang tengah itu ditahan ketika mahu menyerahkan bungkusan berisi syabu berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak yang menjalankan risikan melakukan serbuan di kawasan parkir sebuah pasar raya di Batu Caves, Khamis lalu.

"Serbuan jam 5 petang itu menahan dua lelaki termasuk seorang warga Singapura yang juga pemilik kedai telefon bimbit di Johor berusia 25 dan 47 tahun serta seorang wanita tempatan berusia 24 tahun.

"Hasil penahanan itu polis turut merampas 14 bungkusan plastik warna hijau berisi dadah jenis syabu dengan setiap bungkusan seberat satu kilogram membabitkan nilai keseluruhan dadah lebih RM560,000.

"Kita turut merampas Mercedes Benz dan Mazda yang digunakan suspek," katanya pada sidang media di IPD Gombak di sini, hari ini.

Arifai berkata, soal siasat awal mendapati dadah berkenaan diperolehi di Lembah Klang sebelum dibungkus untuk dipasarkan semula.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada wujud makmal pemprosesan dadah di Lembah Klang sehingga membolehkan suspek mendapatkan bekalan dadah yang banyak dan mengesan saki-baki sindiket berkenaan.

Katanya, semua suspek kini direman tujuh hari bermula 7 Ogos sehingga 13 Ogos untuk membantu siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

ARIFAI (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
ARIFAI (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 3:53 PM