Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Polis menahan dua lelaki di kawasan jeti nelayan Sungai Gelugor, Batu Uban, di sini, 17 Januari lalu kerana disyaki terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah.

Dua suspek itu didapati membawa muatan 10.5 kilogram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM472,500.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis mengesan bot nelayan yang dinaiki dua suspek dan menahan mereka sebaik tiba di jeti berkenaan pada jam 11.30 pagi.

Katanya, seorang daripada mereka ialah warga tempatan berusia 52 tahun manakala seorang lagi warga Thailand berusia 36 tahun.

"Pemeriksaan terhadap bot terbabit menemukan satu guni mengandungi 10 bungkusan berwarna hitam dengan masing-masing di dalamnya mempunyai bungkusan teh Cina berisi ketulan kristal disyaki syabu," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Soffian berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek berlepas dari Langkawi, Kedah itu pertama kali datang ke Pulau Pinang menerusi laluan laut.

Beliau berkata, mereka mengambil masa selama 10 jam untuk tiba di negeri ini selepas tersesat di Tanjung Dawai, Kedah.

"Mereka menerima upah sebanyak RM10,000 dan sudah menerima sebanyak RM3,500 pada permulaan manakala bakinya akan diterima selepas selesai tugas menghantar bekalan.

"Dipercayai bekalan berkenaan dihantar menerusi laluan laut kerana terdapat banyak sekatan polis di laluan darat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya lagi.

SUFFIAN (tengah) menunjukkan bungkusan berisi syabu yang dirampas. FOTO Danial Saad
SUFFIAN (tengah) menunjukkan bungkusan berisi syabu yang dirampas. FOTO Danial Saad

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methaphetamine dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Suspek direman selama lima hari bermula semalam sehingga 22 Januari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati mandatori jika disabitkan kesalahan, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 12:07 PM