Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Taktik dua wanita warga asing menyembunyikan lebih dua kilogram (kg) dadah disyaki jenis syabu pada bengkung yang dipakai terbongkar apabil ditahan di Kilometer 37 Jalan Tawau - Semporna, Rabu lalu.

Kedua-dua suspek yang menaiki kereta jenis Perodua VIVA dipandu seorang lelaki tempatan dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) pada 5.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, berkata siasatan awal terhadap kedua-dua wanita terbabit mereka mengaku membawa dadah jenis syabu.

"Kedua-dua suspek masing-masing didapati membawa bungkusan yang disembunyikan di dalam bengkung yang dipakai mereka.

"Hasil pemeriksaan pada bungkusan itu mengandungi 20 plastik lutsinar berisi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis dengan aggaran berat keseluruhan sebanyak 2016.99 gram (2.017kg) dianggarkan bernilai RM72,720.00," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Peter berkata, pihaknya turut menahan pemandu kenderaan terbabit selepas ujian saringan air kencing didapati positif dadah jenis methamphetamine, manakala kedua-dua suspek wanita didapati negatif selain tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

PETER Umbuas (tengah)  menunjukkan syabu yang dirampas. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
PETER Umbuas (tengah) menunjukkan syabu yang dirampas. FOTO Abdul Rahemang Taiming.

"Semua supek direman selama tujuh hari bermula 15 hingga 22 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika disabit kesalahan," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perkembangan siasatan dua kes rampasan terbesar minggu lalu Peter berkata, pihak polis berjaya menahan tiga lagi suspek lelaki masing-masing berusia 40 dan 50 tahun, antara 7 hingga 10 September lalu.

Katanya seorang suspek ditahan di Kunak manakala dua lagi sekitar daerah Tawau selain menyita dua buah kenderaan bagi membantu siasatan.

Terdahulu, polis menumpaskan sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah dipercayai terbesar di negeri ini, apabila merampas lebih 300 kg syabu dianggarkan bernilai lebih RM10 juta.

Ia diikuti serbuan susulan di sebuah premis iaitu syarikat pengangkutan di Jalan Sin Onn di sini, dan merampas 41.19 kg lagi dadah jenis syabu, menjadikan keseluruhan 344.34 kg barang larangan itu dirampas dalam tempoh empat hari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 1:52 PM