Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak. FOTO ASWADI ALIAS
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak. FOTO ASWADI ALIAS
Nurul Hidayah Bahaudin


Gombak: Kegiatan seorang lelaki mengedar dadah jenis syabu menggunakan kereta sewa terbongkar selepas dia ditahan dalam serbuan di Sri Gombak, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya membuat serbuan di lokasi berkenaan jam 1 tengah hari.

"Dalam serbuan itu, kami merampas lima bungkusan mengandungi dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat satu kilogram setiap satu serta sebuah kenderaan.

"Semua dadah dirampas bernilai RM225,000 itu boleh dibekalkan kepada 10,000 penagih dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, hari ini.

Arifai berkata, modus operandi lelaki berkenaan menggunakan kereta sewa bagi menjalankan kegiatan itu sejak aktif dua bulan lalu.

"Kami percaya bekalan itu dipercayai diperoleh di Lembah Klang untuk pasaran penagih dadah di kawasan sama (Lembah Klang).

"Hasil ujian saringan urin dijalankan mendapati suspek negatif dadah manakala semakan melakukan mendapati dia tiada rekod jenayah," katanya.

Beliau berkata, suspek berkenaan direman selama tujuh hari bermula 12 hingga 18 Mac ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Dengan penahanan suspek berkenaan, kami berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di daerah ini.

"Pada masa sama, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada suspek berkenaan terbabit dengan rangkaian pengedaran dadah di luar Lembah Klang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 5:28 PM