Muhaamad Hafis Nawawi

Serdang: Tindakan seorang penganggur mencari wang mudah dengan menjadi 'transporter' (penghantar) dan mengedar syabu akhirnya memakan diri selepas ditahan polis dalam satu operasi khas di Serdang Raya, Seri Kembangan, di sini, Khamis lalu.

Penahanan suspek berusia 22 tahun, jam 5.30 petang itu berjaya menemukan syabu seberat 9,283.63 gram dengan nilai rampasan dianggarkan RM380,000.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Mohd Rosdi Daud berkata, dalam operasi itu, pihak polis membuat pemerhatian dan intipan sebelum melihat kereta Honda City dipandu suspek tiba di lokasi serbuan.

Menurutnya, suspek dilihat membuka but kereta dan mengambil beg warna merah jambu dan meletakkan di tempat duduk penumpang hadapan.

"Polis kemudian melakukan serbuan, berlaku pergelutan apabila suspek bertindak agresif namun dia berjaya ditangkap.

"Pemeriksaan di dalam kereta menemui beg mengandungi lima bungkusan plastik lutsinar hijau berisi bahan kristal disyaki syabu seberat 5,157.39 gram," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, di sini, hari ini.

Mohd Rosdi menunjukkan syabu yang dirampas. FOTO Rohanis Shukri
Mohd Rosdi menunjukkan syabu yang dirampas. FOTO Rohanis Shukri

Mohd Rosdi berkata, pemeriksaan lanjut menemui satu kotak di lantai bahagian belakang tempat duduk kiri berisi empat bungkusan plastik lutsinar hijau disyaki syabu seberat 4,126.24 gram.

"Hasil risikan dan soal siasat suspek mendapat bekalan dadah itu di kawasan Lembah Klang dan baru sebulan aktif dengan mengedar di kawasan Lembah Klang.

"Semakan juga mendapati, suspek memiliki 10 rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan dadah," katanya.

Katanya, suspek direman seminggu sehingga 22 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 2:56 PM