JEFRIDIN (tengah) membuat laporan polis di IPD Putrajaya. FOTO Samadi Ahmad
JEFRIDIN (tengah) membuat laporan polis di IPD Putrajaya. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


LAPORAN polis dibuat susulan penularan berita palsu kematian bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, hari ini.

Pegawai Khas kepada Abdullah, Datuk Jefridin Atan berkata, laporan itu dibuat pagi tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya berikutan penyebaran berita palsu yang tular itu dan mengelirukan orang ramai.

Menurut beliau, pihaknya membuat dua laporan polis berhubung berita palsu yang tular melalui aplikasi Whatsapp pada 2 Ogos lalu dan di Facebook Sabtu lalu.

"Kami membuat penafian berhubung berita palsu itu pada 3 Ogos lalu dan menyangka masyarakat menerima berita itu, namun masih ada individu yang menyebarkan berita palsu kematian negarawan itu semula," katanya kepada media selepas membuat laporan polis di IPD Putrajaya, hari ini.

Laporan dibuat pada 10 pagi di IPD Putrajaya itu turut dihadiri seorang lagi Pegawai Khas kepada Abdullah, Dr Muhammad Hakimi Shafiai.

Pada 2 Ogos lalu, satu mesej tular yang mendakwa Abdullah berada dalam keadaan tidak sihat.

Abdullah Badawi, 81, atau lebih dikenali Pak Lah adalah Perdana Menteri Malaysia kelima dari 2003 hingga 2009.

Jefridin berkata, masyarakat boleh menyebarkan apa sahaja berita asalkan ia benar dan berasas, namun sekiranya membabitkan negarawan seta tidak benar, ia perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, pihaknya juag akan membuat laporan di Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini selepas menerima nasihat daripada polis supaya pihak bertanggungjawab disiasat mengikut Akta 500 Kanun Keseksaan.

"Kematian bukan isu yang boleh dimainkan dan sebagai individu yang sudah berusia melebihi 80 tahun keadaan Tun Abdullah kadang kala sihat dan ada ketikanya tidak .

"Kita mengalu-alukan dan mendesak pihak yang bertanggungjawab menyebarkan berita palsu ini segera memohon maaf kepada keluarga Tun Abdullah dan masyarakat di negara ini, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 1:34 PM