JEFRIDIN ATAN
JEFRIDIN ATAN
BERNAMA

PEGAWAI Khas Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Jefridin Atan akan membuat laporan polis berhubung mesej palsu yang tular mengaitkan kematian bekas perdana menteri itu.

Jefridin berkata, beliau memandang serius berkenaan mesej tular berkenaan dan akan menghadirkan diri untuk membuat laporan polis pagi esok di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Putrajaya.

"Perkara ini tidak boleh dibiarkan, mesej tular palsu ini adalah fitnah semata-mata dan menyusahkan rakyat. Sepatutnya rakyat memohon doa Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) panjang umur dan sihat sejahtera di samping keluarga.

"Kematian bukan isu yang boleh dimainkan. Saya akan serahkan kepada polis untuk membuat siasatan lanjut tentang perkara ini," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, bekas Setiausaha Akhbar Abdullah, Teoh Ai Hua ketika dihubungi berkata beliau berkesempatan berjumpa dengan Pak Lah di kediamannya baru-baru ini.

"Pak Lah sihat sahaja ketika saya berjumpa tempoh hari, saya pun tidak faham kenapa rakyat menularkan mesej tidak benar ini. Janganlah berbuat demikian," kata Teoh yang kini Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Hari ini, sekali lagi netizen dihidangkan dengan berita palsu menerusi penularan tangkap layar paparan Facebook yang mengaitkan kematian Pak Lah.

2 Ogos lalu, mesej yang sama turut digembar-gemburkan dan Jefridin yang mewakili Pejabat Tun Abdullah Ahmad Badawi menafikan berita tular berhubung keadaan kesihatan bekas pemimpin negara itu dan menyatakan Pak Lah berada dalam keadaan sihat.

Abdullah Badawi, 81, adalah Perdana Menteri Malaysia kelima dari tahun 2003 hingga 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 1:46 PM