SEBANYAK 970 liter petrol yang dirampas dalam dua serbuan berasingan semalam. FOTO ihsan PGA9
SEBANYAK 970 liter petrol yang dirampas dalam dua serbuan berasingan semalam. FOTO ihsan PGA9
Siti Rohana Idris


Tumpat: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) menumpaskan cubaan menyeludup masuk 970 liter petrol ke negara jiran.

Pegawai Pemerintah Medan, Deputi Superintendan Ku Majidin Che Ku Jusoh berkata, rampasan petrol yang dianggarkan bernilai RM1,988.50 itu dibuat di dua lokasi iaitu Kampung Tualang, Pengkalan Kubor dan Kampung Gelang di Pasir Mas.

Beliau berkata, serbuan pertama dibuat di Kampung Gelang Emas pada jam 3.30 petang semalam ketika sepasukan anggota daripada PGA9 menjalankan rondaan sempena Op Kontraban.

"Ketika rondaan itu, anggota kami ternampak beberapa tong di dalam semak belakang sebuah rumah yang dipercayai berisi petrol.

"Anggota kami menunggu selama setengah jam namun tiada sesiapa yang datang menuntut sebelum semua tong yang mengandungi 430 liter petrol itu dibawa ke Kompeni Taktikal Kuala Jambu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ku Majidin berkata, sejam selepas itu, serbuan kedua dibuat di Kampung Tualang yang mana beberapa tong yang juga mengandungi 540 liter petrol ditemui dalam sebuah stor.

Beliau berkata, semua tong itu diletakkan di tebing Sungai Golok dan dipercayai akan dibawa masuk ke negara jiran bila-bila masa saja.

"Kita percaya petrol ini untuk dijual ke Thailand memandangkan terdapat permintaan tinggi dari sana.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 9:54 PM