SEBAHAGIAN 80 tong mengandungi minyak petrol dan diesel dalam 30 tong yang dirampas PPM Pengkalan Kubor.
SEBAHAGIAN 80 tong mengandungi minyak petrol dan diesel dalam 30 tong yang dirampas PPM Pengkalan Kubor.
Siti Rohana Idris

Tumpat: Dek kerana terlalu leka memunggah minyak di sebuah pangkalan haram untuk diseludup ke Thailand, dua lelaki tidak menyedari kegiatan mereka diintip pihak berkuasa dan akibatnya mereka berdua berjaya diberkas, semalam.

Kegiatan itu dilakukan di pangkalan haram Kampung Simpangan, di sini, kira-kira jam 4 pagi sebelum mereka ditahan sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM).

Pemangku Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubor Inspektor Reduan Mohidin berkata, dalam kejadian itu, dua lelaki yang berusia 30 dan 31 tahun sedang memunggah sejumlah tong yang mengandungi petrol dan diesel daripada dua kenderaan Mitsubishi Triton.

Katanya, ketika anggota PPM menjalankan rondaan, mereka ternampak dua kenderaan suspek di sebuah pangkalan haram di Kampung Simpangan.

“Ketika anggota kami tiba, dua lelaki terbabit sedang memunggah turun tong petrol dan diesel dari kenderaan untuk diletakkan di stor di kawasan itu sebelum dibawa ke seberang menggunakan bot galah.

“Hasil pemeriksaan terhadap dua kenderaan terbabit menemui 80 tong mengandungi petrol dengan isi padu 2,400 liter dan 900 liter diesel dalam 30 tong,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, nilai keseluruhan petrol dan diesel serta dua kenderaan terbabit dianggarkan RM112,080.

“Semua barang rampasan termasuk dua kenderaan itu serta suspek diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kelantan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 11:01 AM