TERTUDUH, Muhammad Hizammudin (tengah) didenda RM8,000 di Mahkamah Sesyen Setiu kerana memiliki 125 utas jam tangan tiruan jenama G-Shock. FOTO Ihsan KPDNHEP
TERTUDUH, Muhammad Hizammudin (tengah) didenda RM8,000 di Mahkamah Sesyen Setiu kerana memiliki 125 utas jam tangan tiruan jenama G-Shock. FOTO Ihsan KPDNHEP
Zatul Iffah Zolkiply

SEORANG pemilik premis menjual jam tangan didenda RM8,000 di Mahkamah Sesyen Setiu hari ini kerana memiliki 125 utas jam tangan tiruan jenama G-Shock.

Tertuduh, Muhammad Hizammudin Mohamad Rais, 29, turut berdepan empat bulan penjara sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Hakim Wan Azimah Yaacob selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan iaitu sebanyak 125 unit jam tangan yang dipakaikan cap dagangan secara salah menggunakan jenama G-Shock.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Taman Hijrah, Kampung Bari Besar, Setiu, jam 12.20 tengah hari pada 27 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman denda maksimum RM10,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Cawangan Besut, Kamarulzaman Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 6:40 PM