GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuching: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak merampas 255 paket minuman malt coklat disyaki tiruan di tiga premis perniagaan di sini, hari ini.

Pengarah KPDN Sarawak Matthew Dominic Barin dalam satu kenyataan berkata, rampasan itu dibuat susulan siri serbuan yang dibuat sepasukan anggota penguat kuasa kementerian itu di sekitar bandar raya ini.

"Kesemua unit minuman malt coklat berkhasiat tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan lain telah disita dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM9,814.95," katanya.

Menurutnya, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan apa-apa barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

"Jika disabitkan kesalahan, denda boleh dikenakan sehingga RM10,000 bagi setiap barang tiruan yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau menambah denda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap barang tiruan yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan untuk kesalahan kali kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 7:19 PM